‘Pukul 11 pagi sudah beli nasi’, “ponteng puasa akibat terpengaruh dengan rakan”

Ketibaan Ramadan menjadi suatu pe­nantian buat semua masyarakat beragama Islam di seluruh dunia, namun kaki ponteng puasa atau geng plastik hitam selalu menjadi perhatian ekoran ingkar dengan rukun Islam ketiga tersebut.

Rata-rata pengusaha restoran makanan tengah hari hanya mampu menggeleng kepala susulan ada sesetengah lelaki beragama Islam datang untuk membungkus makanan pada waktu dikira mencurigakan.

Foto – My Tv viral

Hal ini menjadi satu masalah kerana sesetengah kaki ponteng ini berselindung di sebalik pelitup muka dan berpura-pura bukan beragama Islam.

Menurut seorang pengusaha nasi kandar, Abdul Rahim, 45, terdapat beberapa individu datang ke restoran miliknya untuk membungkus makanan.

“Saya hanya menganggap golongan ini sebagai bukan Islam dan bersangka baik bahawa mereka datang membeli makanan untuk berbuka,” ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.

Selain itu, pekerja sebuah restoran nasi kukus di Taman OUG, Mohideen Ibrahim, 36, memaklumkan setakat hari pertama bulan Ramadan masih belum ada kaki ponteng puasa yang ‘me­nyerbu’ kedainya.

Bagaimana pun, dia berkata, kebanyakan kaki ponteng mula datang membungkus makanan sekitar pukul 2 hingga 3 petang sepanjang dia menjalankan perniagaan pada bulan Ramadan tahun-tahun sebelum ini.

Dalam pada itu, salah seorang pengusaha medan selera sekitar Kampung Baru, Nadia Roslan, 32, berkata, kebanyakan kaki ponteng puasa jarang turun membungkus makanan kerana kini wujud kemudahan perkhidmatan penghantar makanan.

Jelasnya, perkara terbabit dinilai melalui nama lelaki Islam yang tertera pada pesanan baharu yang diperolehi untuk dihantar oleh penghantar makanan pada waktu tengah hari.

Menurutnya, perkara sedemikian perlu dibendung bagi mengelakkan lebih ramai individu di luar sana ingkar dengan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan.

Sementara itu, salah seorang pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tempatan berusia 23 tahun memaklumkan dia mula ‘belajar’ ponteng puasa akibat terpengaruh dengan rakan lelaki yang bertindak sedemikian.

“Kebiasaannya ketika bulan puasa, saya dan rakan akan membeli fast food kerana lebih mudah selain menggunakan perkhidmatan penghantar makanan,” ujarnya.

Apa pendapat anda? jangan lupa komen like dan share!

Sumber: -KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.