Aliff Aziz dedah Wang kemenangan RM100,000 digunakan untuk…; , “Insya-Allah jika ada rezeki nanti, saya rancang…

TIADA lagi permainan Ada Lagu Ada Lagi. Aliff Aziz telahpun menjadi peserta terpilih untuk merangkul gelaran juara Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) pada malam Ahad lalu.

Sering disebut-sebut sebagai anak ‘emas’ Astro sejak minggu pengenalan, kemenangan Aliff bukan berpaut kepada mulut-mulut itu, namun tergantung pada bakat dan kesungguhan yang mengalir dalam tubuhnya.

foto -media hiburan

Pada masa sama, kemenangan Aliff turut menjadi perbalahan dalam kalangan netizen. Rata-rata menyifatkan kejayaan tersebut sebagai berat sebelah dan tidak adil.

Ada yang mendakwa, Aweera, Nikki Palikat dan Suki Low lebih layak bertakhta sebagai juara, bukannya Aliff yang saban minggu diulit tuah memperoleh lagu sepadan dengan tahap, vokalnya.

Malah, ada yang ‘menghentam’ para juri, konon-kononya tidak bijak menilai bakat sebenar dan tunduk dengan terhadap tuntutan stesen televisyen semata-mata.

Rumah siap, pahat berbunyi. Hakikatnya, itulah adat pertandingan.

“Jujurnya, selepas diumumkan siapa juara, saya hilang kata-kata. Betul-betul tidak sangka nama saya yang terpilih kerana finalis lain ada kehebatan masing-masing.

“Tapi inilah ketentuan pertandingan. Alhamdulillah atas kemenangan dan kejayaan yang diberikan Allah ini. Kemenangan ini untuk anda semua,” kata Aliff membuka bicara.

Rahmat, kedukaan

Dengan mata berkaca, bapa dua cahaya mata itu memberitahu, kemenangan ini disifatkan sebagai rahmat dan permulaan buat perjalanan seni kariernya.

“Ya, ini sebenarnya baru permulaan buat segala-galanya. Kemenangan ini bukan satu pengakhiran tetapi baru saja bermula.

“Tak dinafikan ini juga sebagai satu rahmat buat segala kedukaan yang pernah saya alami sebelum ini,” ujarnya.

Kata Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Aliff Aziz, 31, apa yang pernah berlaku biarlah berlalu.

Kini, dia perlu terus bangkit demi kerjaya dan keluarga dicintai.

“Jujur apa yang pernah berlaku dalam hidup, saya jadikannya sebagai satu pedoman dan pengajaran untuk terus bangkit daripada kealpaan dan salah silap sebelum ini.

“Saya tidak mahu janjikan apa-apa, tapi apa yang saya katakan sebelumnya, ini adalah permulaan buat segala-galanya,” katanya.

Meneruskan perbualan, Aliff berkata, pentas berprestij GV juga secara tidak langsung menjadi pintu untuk terus berkarya dan kekal relevan dalam gelanggang seni.

Janji, tak hilang

Kata Aliff, waima tidak dinobatkan sebagai sang juara sekali pun, GV8 tetap akan menjadi satu platform kebangkitan buatnya terus bergelar sebagai pemain seni.

“Jujur kami semua penat, begitu juga dengan saya. Sepanjang 10 minggu bersama, banyak ilmu yang saya gali dan belajar.

“Memang orang ramai dan penonton di rumah tengok konsert mingguan setiap hari Ahad, tapi hakikatnya setiap hari kami bekerja.

“Ya, jadi inilah hasilnya. Kemenangan ini milik anda semua tidak kiralah peminat atau sesiapa saja. Jadi mana mungkin saya akan hilang dari radar selepas ini. Ini janji saya untuk terus menyinar dan memberikan yang
terbaik,” ujarnya.

Akui Aliff lagi, penyertaan dan kejayaannya dalam GV8 merupakan indikasi kepada ‘kehilangannya’ satu masa dahulu.

Ujar suami kepada penyanyi dan pelakon Bella Astillah itu lagi, selepas berehat beberapa minggu daripada pentas GV8, dia akan mula aktif dalam bidang seni seperti biasa.

“Insya-Allah kalau tiada apa-apa aral melintang, saya akan hadir dengan buah tangan terbaru berupa single.

“Selain nyanyian, saya juga akan memulakan beberapa projek lakonan. Jujur, saya rindu nak berlakon macam dahulu,” ujarnya.

foto – murai.my

Umrah

Ditebak mengenai hala tuju wang tunai RM100,000 yang dimenanginya, pelantun lagu Sayang Sayang yang pernah hit sekitar 2008 itu berkata, dia masih belum ada perancangan.

Akui Aliff, dia belum memikirkan apatah lagi memutuskan ke saluran mana wang itu hendak dileburkan, namun yang yang pasti untuk kegunaan baik-baik.

“Jujur, saya tak tahu nak buat apa lagi. Belum terfikir apa nak buat dengan wang itu.

“Tapi apa yang pasti, wang tersebut akan saya gunakan ke arah yang baik-baik. Sebahagian besarnya untuk keluarga di Singapura.

“Insya-Allah jika ada rezeki nanti, saya rancang nak bawa keluarga untuk tunaikan umrah kelak,” katanya sekali gus menoktahkan bicara.

Apa pendapat anda? jangan lupa komen dan share!

Sumber: – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.