Zarina Anjoulie teringin watak ustazah, “Saya tidak kisah jika terpaksa mencabut bulu mata palsu dan memakai tudung labuh”

Sinonim dengan imej sek$i dan  bermulut lantang, pelakon sensasi Zarina Anjoulie bagaimanapun ingin menjadi wanita baik-baik, contohnya ustazah sebagai watak lakonannya.

Zarina atau mesra disapa Anju mahu memberikan kelainan dan mengelak daripada membawakan watak klise yang selalu dimainkan oleh pelakon lain, sekali gus satu cabaran baharu buat dirinya.

“Saya sebenarnya teringin hendak bawakan watak seorang ustazah. Watak sebegitu memang menarik, selain akan membuatkan penonton teruja untuk melihat saya dalam televisyen.

“Saya tidak kisah jika terpaksa mencabut bulu mata palsu dan memakai tudung labuh jika perlu membawakan watak seorang ustazah. Tidak salah rasanya jika saya tampil dengan kelainan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditemui semasa majlis pelancaran filem H4ntu Kuat Ketawa di Hadramawt Kitchen di Jalan Ampang, Kuala Lumpur hari ini, Zarina  turut mengakui menerima banyak tawaran berlakon sepanjang tempoh ‘berehat’ sejak beberapa tahun lalu.

Bukanlah berlagak diva, Zarina terpaksa menolak tawaran tersebut atas beberapa faktor, terutama apabila terpaksa berjauhan dengan anaknya.

“Memang dah lama saya tidak berlakon dan menolak banyak tawaran kerana tidak boleh jauh dengan anak.

“Kebanyakkan penggambaran perlu dilakukan di luar Kuala Lumpur dan Nilai. Namun, saya sedia mempertimbangkan sebarang tawaran,” ujarnya.

Mengenai pembabitannya dalam filem H4ntu Kuat Ketawa dengan membawakan watak Datin Nilam, Zarina terbuka hati untuk berlakon dalam filem arahan Mawi itu kerana terlalu meminati penyanyi itu.

“Sejak Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) lagi saya memang minat dengan Mawi. Jadi, apabila ditawarkan berlakon bawah arahannya, sudah tentu sukar untuk saya tolak.

“Lagipun jalan cerita filem ini cukup menarik. Selepas mendapat tawaran saya terus berikan persetujuan,” ujarnya.

Selain Zarina, filem H4ntu Kuat Ketawa yang akan ditayangkan menerusi Astro First bermula 27 Januari ini turut dibintangi pelakon Saiful Apek, Syanie dan Along Cham.

Apa pendapat anda? jangan lupa komen dan share!

Sumber: – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.